Dunia Islam hari ini menyaksikan erti persaudaraan dan perpaduan umat semakin jauh, apatah lagi ke arah penyatuan. Lebih menyedihkan, sudah ada segelintir yang mula lupa erti persaudaraan yang pada asalnya cukup utuh di kalangan mereka.
Barangkali tidak salah dikatakan umat Islam hari ini berada dalam lingkungan mereka sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku terhadap saudara seagama yang lain. Berbanding tuntutan agama, sikap keakuan menjadi lebih utama. Itu kalau dunia Islam dilihat secara luas. Jika dikecilkan lagi skalanya, tentu kita dapat lihat keadaan hubungan yang semakin longgar antara kita dalam komuniti kita sendiri. Cubalah bertanya kepada diri sendiri – siapa jiran di sebelah rumah? Pernahkah kita mengambil tahu perihal mereka? Situasi ini sebenarnya sudah cukup untuk membayangkan betapa perpecahan umat Islam sudah tecetus sejak sekian lama. Bermula dari isu kecil, kemudian ia merebak besar dan luas sehingga mengakibatkan pelbagai kesan termasuk bermusuhan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah Al- An’aam: 153).
Daripada ayat tersebut, kita harus membuka minda sekali gus merenung kembali akan situasi umat Islam hari ini. Lihat pada diri, kemudian pandanglah pula pada masyarakat kita. Perhatikan bagaimana rentak hubungan kita di Malaysia dengan penduduk Islam yang lain. Adakah ia seiring dengan fi rman tersebut?
Sejarah Perpecahan Umat
Keretakan umat Islam bermula sejak kewafatan Rasulullah SAW dengan tercetusnya isu kepimpinan di kalangan sahabat dan masyarakat Islam ketika itu. Namun, kemelut tersebut berakhir sebaik sahaja Saidina Abu Bakar as-Siddiq diangkat sebagai khalifah pertama dalam Khulafa al-Rasyidin. Kemudian kepimpinan beralih ke tangan Saidina Umar al-Khattab dan diikuti oleh Saidina Uthman bin Affan.
Namun, perpecahan berlaku lagi dengan pembunuhan Saidina Uthman. Perang Siffi n yang juga merupakan perang saudara memburukkan lagi keadaan. Ia melibatkan konfl ik antara Saidina Ali bin Abu Talib dengan Muawiyah bin Abu Sufi an. Selepas itu terjadi pula Perang Jamal yang membabitkan Aisyah binti Abu Bakar, Thalhah dan Zubair yang menentang Saidina Ali. Konflik yang berlaku tidak hanya mengeruhkan situasi politik ketika itu. Lebih menyedihkan apabila isu akidah turut mendapat tempat. Rentetan dari itu,lahirlah dua kelompok. Salah satunya penyokong Muawiyah. Manakala kelompok lagi satu adalah golongan fanatik terhadap Saidina Ali. Mereka kemudiannya digelar Syiah. Akibat tidak puas hati dengan pelantikan ketua negara Islam antara Saidina Ali dan Muawiyah (Tahkim), muncul pula kelompok Khawarij yang keluar daripada kumpulan.
Selepas beberapa peringkat, anasir bukan Islam mula meresap ke dalam umat Islam. Golongan Syiah mula terbahagi dua iaitu yang berfahaman sederhana seperti golongan Imamiah dan golongan Syiah yang radikal. Di kalangan Khawarij pula, ada kelompok yang berfahaman sederhana seperti golongan Ibadhiah dan yang radikal seperti Azraqiah dan Ajaridah. Golongan Muktazilah, Jabariah dan Ahli Sunnah wal Jamaah muncul pada zaman Abbasiyah Ahli Sunnah wal Jamaah pula lahir alam dua aliran iaitu Salaf dan Khalaf. Sementara dalam Khalaf, lahir fahaman Asya’irah dan Maturidiah.
February 2nd, 2010 admin (www.iluvislam.com)