Perhatikan teman-teman anda yang kini sedang asyik bercinta, biarpun dahulu dia kasar tetapi kini kekasarannya semakin berkurangan kerana penangan cinta. Maka Islam itu juga adalah agama cinta. Justeru apabila dikatakan agama cinta, budi bahasa dalam Islam itu penting.
‘Orang berbudi, kita berbahasa’. ‘Bahasa jiwa bangsa’. Itulah antara katakata yang dapat kita lihat betapa pentingnya bahasa. Jika kita lihat era Tan Sri P Ramlee, bahasa yang digunakan cukup indah dan sedap didengar.
Teknologi hari ini bukan sahaja mengubah perjalanan kehidupan tetapi mengubah juga bahasa yang diguna pakai serta budi bahasa yang kian luntur. Saya sendiri banyak menerima sistem pesanan ringkas (sms) yang bahasanya tidak saya fahami kerana diringkaskan ejaannya serta corak bahasa yang cukup berbeza.
Mungkin bagi kita bahasa sebegitu tidak melambangkan apa-apa dan mungkin bahasa hanyalah satu wadah dalam menyampaikan maksud namun bagi saya bahasa melangkaui itu semua. Bahasa merupakan lambang keperibadian.
Bahasa itu adalah perlambangan seseorang itu, perlambangan corak pemikirannya serta perlambangan keadaannya. Cuba direnungkan kembali penggunaan bahasa sewaktu anda bercinta, adakah ia berbeza penggunaannya sewaktu anda tertekan dan mungkin jauh sekali perbezaannya sewaktu anda marah. Benar kata orang dahulu bahawa bahasa jiwa bangsa kerana wujudnya bangsa itu adalah daripada keberadaan kita sendiri. Hal yang sama kita lihat dalam konteks Islam apabila ramai yang begitu menjaga keterampilan tetapi penggunaannya bahasanya tidak selari dengan apa yang dibawanya.
Saya pernah beberapa kali bertemu dengan situasi di mana seorang yang kelihatan hebat dalam berpakaian, berserban, berjubah namun sifatnya begitu ironi dengan pakaiannya. Bahasa yang digunakan cukup kasar bahkan pernah ada yang memarahi seorang penjual dengan bahasa yang cukup kasar dikeluarkan. Persoalannya ini bukan timbul atas generalisasi tetapi pengalaman saya dan mereka yang ramai bertemu dengan keadaan ini.
Benar kita tidak boleh menghakimi sebuah buku daripada luarannya. Namun dalam hal ini, sesuatu yang perlu diambil kira adalah perbuatanitu dilihat oleh orang lain di luar lingkungan agama Islam. Peradaban Islam dibawa oleh seseorang itu seharusnya tidak dirosakkan dengan bahasa jelek yang memperlihatkan keburukan nilai diri yang dibawanya. Mungkin anda sendiri pernah mengalami hal sedemikian. Persoalannya kini, di manakah silapnya hingga mereka begitu hebat dalam menjaga keterampilan tetapi lupa bahawa bahasa itu juga lambang akhlak.
Celupar Tapi Hati Baik?
Saya berpandangan aspek yang amat perlu kita halusi adalah bahasa kerana apabila bahasa yang digunakan kasar dan mengguris, ia mungkin disebabkan oleh intonasi dan segala yang berkaitan dengannya. Maka ternyata ia menjejaskan kekuatan jiwa seseorang.|Ada orang mungkin berkata bahawa tidak mengapa mulut celupar asalkan hatinya baik. Jika kita memahami dengan benar, keceluparan itu juga datang dari hati yang tidak tenteram. Keceluparan itu juga datang dari keegoan yang tinggi.Ego adalah halangan rasa paling tebal dan paling tinggi. Apabila kita berasa kita mempunyai lebih ilmu daripada orang lain misalnya, maka kita mula bertutur dalam bahasa yang terkandung ego yang tinggi.
Kesannya apabila masyarakat cukup rama,antaranya hilangnya rasa persaudaraan sesama Islam dan timbullah umpat mengumpat yang tidak berkesudahan. Bahasa bagi saya adalah bayangan daripada ketenangan jiwa. Apabila dikatakan bahasa itu bukan sekadar tatabahasa tetapi lebih daripada itu hinggakan intonasi itu sendiri menunjukkan siapa diri kita sebenarnya. Apabila kita kasar dalam berhubungan sesama insan, secara lumrahnya kita juga akankasar dalam berhubungan dengan Maha Pencipta. Ini dapat dilihat daripada sudut pembacaan ayat-ayat suci yang mungkin dibaca dalam tergesa-gesa atau dibaca dengan nada yang keras. Bahasa juga memberi kesan terhadap setiap pergerakan hidup yang dilakukan. Apabila kita sering bernada tinggi atau sering berada dalam bahasa ego yang dalam, perbuatan kita pasti berbeza. Kita mungkin tergesa-gesa dalam melakukan sesuatu, tindakan yang kita ambil mungkin sering tersasar dari keputusan yang baik maka ini sudah pasti memberi kesan dalam hidup.
Pilihan Kata-Kata
Kisah bahasa ini juga cukup berkait rapat dengan ibadah. Bahasa yang kasar lagi ego memberi ketidaktenangan dalam solat kerana pergerakannya akan menjadi laju. Jika solat tidak dapat memberi ketenangan, di manakah ketenangan diri dapat diperoleh? Jika kita ke pantai sekali pun mahupun ke tanah tinggi,ketenangan yang ada hanyalah ketenangan fi kiran bukan ketengan jiwa. Ketenangan fi kiran hilang apabila timbul satu fi kiran baru yang menyesakkan tetapi ketenangan jiwa kekal abadi hingga ke liang lahad. Jika kita benar-benar mahu menjadi orang yang positif dan merasa keindahan ibadah, maka yang pertama kita ubah adalah bahasa yang kita gunakan, nada yang kita lontarkan serta katakata yang kita pilih. Nada yang tinggi hanya akan meransangkan otak kiri dengan lebih banyak. Apabila ia menjadi dominan, maka ego akan mula timbul. Ego ini akan membawa kepada rasa ujub dan menjadi halangan rasa cinta kita dengan Allah SWT.
Kita sering mengatakan yang kita mencintai Allah SWT tetapi mungkin hanya dengan pakaian dan tidak dengan rasa. Buktinya hanya perlu dilihat daripada sikap bahasa kita. Jika bahasanya masih kasar, nadanya masih tinggi, lenggok bahasanya masih ego maka rasa cinta itu hanya ucapan di bibir dan mungkin hanya ilusi dalam diri dan mungkin hanya kerana cara berpakaian. Tidak mungkin orang bercinta bertutur dalam bahasa ego, tidak mungkin orang bercinta mempunyai ego dalam kata-kata dan tidak mungkin dia mengatakan yang dia bercinta kasar dalam tindak tanduknya.
May 25th, 2010 admin (www.iluvislam.com)