Halaman: Dakwah Rosak Nasab Kerana Zina
Rosak Nasab Kerana Zina
Kha, 30 Jun 2011 16:51 | Suziana Che Wil | Editor: Team Tabloid
Allah SWT telah berikan manusia satu kurniaan yang maha hebat iaitu akal fikiran yang sangat hebat ciptaannya. Tidak ada pada makhluk ciptaan-Nya yang lain melainkan manusia. Namun akal yang diberikan itu lantas digunakan ke jalan untuk menderhakai Allah SWT dan melakukan perkara yang nyata dan jelas ditegah Allah SWT.
Zina penyakit dalam masyarakat Islam yang tiada pernah menemui noktahnya. Ia bukan sahaja dilakukan oleh anak muda yang cetek ilmu agama tetapi paling memalukan golongan penuh ilmu juga tidak mampu mengekang nafsu serakah godaan syaitan ini.
Malah paling menyedihkan perbuatan keji ini juga dilakukan oleh mereka yang sudah bergelar isteri ataupun suami orang. Mengapa harus pergi pada sesuatu yang haram sedangkan sudah ada di depan mata perkara yang halal. Persetubuhan antara lelaki dan perempuan itu telah dihalalkan dengan ikatan pernikahan yang sah.
Dari Ibnu Mas'ud r.a dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak halal ditumpahkan darah seorang Muslim kecuali kerana salah satu di antara tiga alasan: orang yang telah kahwin melakukan zina, orang yang membunuh jiwa (orang Muslim) dan orang yang meninggalkan agamanya memisahkan diri dari jemaah." (HR. Bukhari dan Muslim).
Sesungguhnya zina itu juga merosakkan tamadun manusia dan meragukan nasab keturunan. Bermula dari sinilah titik mula kerosakan akan berlaku apabila keturunan itu sudah dicemari dan manusia akan mula melakukan kerosakan kerana semakin jauh daripada hidayah Allah SWT.
Sedarlah wahai umat Islam, andainya makin ramai pelaku-pelaku zina di muka bumi Allah dan semakin ramainya anak-anak yang dilahirkan hasil perbuatan zina, semakin Yahudi bergelak ketawa dan semakin hampir pula pada Yahudi mencapai matlamatnya untuk menghapus dan mengacau bilaukan umat Islam.