Muslimah Memang Tidak Guna…
by Firdaus Ramli on June 8, 2011
MUSLIMAH MEMANG TIDAK GUNA…
Saya percaya bahawa apabila anda mula-mula membaca tajuknya, dan membacanya mengikut intonasi yang betul, anda pasti tersangat tidak bersetuju. Sebelum anda menyatakan rasa tidak berpuas hati itu, eloklah anda bertenang dahulu dan baca dengan teliti semua fakta yang dikemukakan. Jika ada mana-mana fakta yang tidak tepat, nyatakan komen anda secara terbuka.
Perempuan yang bergelar muslimah itu memang tidak guna… kain yang nipis untuk membuat bajunya, sehingga terbayang kulitnya. Kerana dia tahu, bahawa pakaian seperti itu adalah pakaian yg layak dipakai oleh perempuan jalang.
Perempuan yang mengakui dirinya beragama Islam memang tidak guna… rantai kaki yang berloceng untuk dililitkan pada kakinya. Rantai ini apabila dipakai walaupun tersembunyi tetap bergemerincing dan menarik perhatian orang lain, lebih-lebih lagi lelaki yang jahat. Dia tahu sekiranya dia memakainya juga dia telah melanggar larangan Allah SWT dalam ayat 31 surah An- Nur.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” – Surah An-Nur: 31.
Perempuan yang mengakui dirinya “Ana muslimah,” memang tidak guna… minyak wangi yang baunya semerbak. Wangian sebegini mempunyai kuasa penyerakan bau yang amat tinggi kerana kadar kemeruwapannya tinggi. Biasanya kekuatan bau ini menunjukkan kadar kekompleksan rantai alkohol (secara kimia) yang digunakan untuk membuat pewangi itu. Perempuan yang tidak memakai wangian yang kuat ini tahu bahawa inilah yang dipesan oleh Nabi SAW. Sabda junjungan bahawa wanita yang keluar rumah dgn memakai wangian, adalah seperti pelacur. Bukan tidak boleh berwangi-wangi tetapi bersederhanalah dlm pemakaian wangian tersebut.
“Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” – Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.
Perempuan yang kuat pegangan Islamnya memang tidak guna… kata- kata yang keji, kerana dia tahu sesiapa sahaja yang bercakap perkara yang keji adalah mereka yang rendah akhlaknya. Lelaki atau perempuan yang bercakap menggunakan perkataan yang buruk atau jahat, adalah seperti sepohon pokok yang rosak akar tunjangnya. Dia tahu bahawa perumpamaan perkataan yang baik dan buruk dinyatakan dengan jelas dalam ayat 24-26 surah Ibrahim.
“Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Allah memberi perumpamaan kalimat yang baik dengan sebatang pohon yang baik, pokoknya tetap (di bumi), sedang cabangnya (menjulang) ke langit.Menghasilkan buahnya setiap waktu dengan izin Tuhannya. Allah memberikan beberapa contoh kepada manusia, mudah-mudahan mereka mendapat peringatan. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti sebatang pohon yang buruk akarnya terbongkar dari atas bumi, tiada baginya tempat tetap (di muka bumi).” – Surah Ibrahim: 24-26.
Perempuan muslimah memang tidak guna… masa berborak untuk mengatakan hal-hal orang yang di sekitarnya atau dengan kata lain mengumpat, memperkatakan keburukan saudaranya. Dia tahu bahawa sekiranya orang yang suka mengumpat baik lelaki atau perempuan dia seolah-olah memakan daging saudaranya sendiri. Apakah sanggup kita memakan daging saudara sendiri? Persoalan ini ditanyakan kepada kita dalam firmanNya melalui ayat 12 surah Al-Hujurat.
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), kerana sebagian dari purba-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” – Al-Hujuraat: 12.
Perempuan yang berpakaian berdasarkan syariat Islam memang tidak guna… tudung tiga segi, apabila memakainya diselempangkannya sehingga nyata bentuk perbukitan pada badannya (tudung siput babi). Sememangnya ia menjadi tatapan mata lelaki yang jahat yang terkena panahan syaitan. Dia tahu apabila bertudung, dia mesti melabuhkan tudungnya sehingga menutup alur lehernya dan tidak menampakkan bentuk di bahagian dadanya. Pesan Rasul seperti yang disuruh oleh Allah SWT, tersebut dalam ayat 59 Al-Ahzab. Begitu juga seorang lelaki yang bergelar suami mesti memberi peringatan untuk isteri dan anak- anaknya.
“Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” – Al-Ahzab: 59.
“Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.
Perempuan yang memahami etika dalam Islam memang tidak guna… lenggok bahasa yang boleh menggoda seorang lelaki. Jika bercakap dengan lelaki yang bukan mahramnya, bercakaplah dengan tegas. Jangan biarkan suara lentukku untuk menarik perhatian lelaki yang sakit dalam hatinya. Sememangnya suara perempuan bukanlah aurat, jika aurat, maka Allah SWT tidak akan menjadikan perempuan boleh berkata-kata. Bertegaslah dalam percakapan, jangan gunakan suaramu untuk menarik perhatian lelaki sehingga menjadi fitnah buatmu. Bahaya suara wanita yang bercakap dengan gaya membujuk yang boleh mencairkan keegoan lelaki (yg bukan mahramnya) dicatat dalam ayat 32 surah Al-Ahzab.
“Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
‘Terlalu lunak’ di sini ditafsirkan sebagai berbicara dengan sikap yang boleh menimbulkan keberanian orang lelaki untuk bertindak jahat kepada mereka. ‘Serong dalam hati’ adalah keinginan seorang lelaki untuk melakukan perbuatan sumbang dengannya seperti berzina. Mengapa? Lelaki sangat mudah tertarik kepada seorang wanita melalui suaranya.
Perempuan yang menjaga maruah Islam memang tidak guna… alat make-up untuk menonjolkan kejelitaannya melainkan di hadapan suaminya sahaja. Adab bersolek (tabarruj) ini amat ditekankan kepada wanita muslimah kerana semestinya kecantikannya adalah hak ekslusif yang mesti persembahkan kepada suaminya. Jika ingin keluar bekerja, dia memakai make-up secara bersederhana sahaja sehingga tidak jelas kelihatan pada wajahnya dia bersolek. Jangan bersolek sehingga cantiknya anda sehingga kadang2 wajah anda menjadi seperti hantu. Hendak bergincu? Jika bergincu, pakailah yg tidak menyerlah warnanya. atau Mengapa tidak pakai lipstik non-glossy atau lipbalm sahaja?
Perempuan Islam memang tidak guna… kain tudung yang jarang-jarang seperti jarangnya jala yang digunakan untuk memukat haiwan akuatik. Kerana apabila memakai tudung seperti ini, akan nampak juga bahagian yang sepatutnya ditutup rapi dari pandangan orang lain. Rambut adalah mahkota, tetapi jangan biarkan mahkota itu tidak ‘berharga’ dengan menayangkannya tanpa sebarang perlindungan. Jika mahkota berharga disimpan dengan rapi di dalam sangkar, dan ditambah pula pengwal untuk menjaga keselamatannya, maka demikian juga dengan rambut wanita. Sangkar itu adalah kain litup yang sempurna dan pengawalnya pula adalah ilmu yang diamalkan oleh anda untk memakainya dengan cara yang terbaik.
Sememangnya, perempuan yang bernama muslimah memanglah BERGUNA ^__^
Jangan marah kaum muslimah… saje je buat suspen…