Jumaat, 17 Jun 2016
FIQH AQIQAH
Wednesday, June 24, 2009
Pengertian Aqiqah
Al-‘Aqiqah berasal dari perkataan al-‘Aq (العقّ) yang bermaksud al-Qat’u (القطع) iaitu memotong. Aqiqah pada asalnya ialah rambut yang berada di kepala bayi ketika dilahirkan dan dinamakan kambing yang disembelih untuk bayi sebagai aqiqah adalah kerana rambut tersebut dicukur ketika sembelihan itu dilakukan. Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis;
الغلام مرتهن بعقيقته: فأهريقوا عنه الدم، وأميطوا عنه الأذى
“Anak kecil itu dipertaruhkan dengan aqiqahnya[1], maka tumpahkanlah darah untuknya (yakni lalukanlah aqiqah untuknya) dan singkirkanlah kotoran darinya”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dari Salman bin ‘Amir r.a.)
Yang dimaksudkan dengan kotoran (الأذي) dalam hadis ini ialah rambut yang dicukur dari anak kecil tersebut.[2]
Adapun dari sudut Syara’, Aqiqah bermaksud; binatang yang disembelih untuk bayi yang dilahirkan.[3] Disunatkan memanggilnya dengan nama nasikah (نسيكة) atau zabihah (ذبيحة).[4]
Dalil pensyari’atan aqiqah ialah hadis Buraidah r.a. yang menceritakan;
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم عق عن الحسن والحسين
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. melakukan aqidah untuk Hasan dan Husin”. (Riwayat Imam an-Nasai)
Hukum Aqiqah
Aqiqah hukumnya adalah sunat muakkad.[5] Dalil sunatnya aqiqah ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Salman bin ‘Amir r.a. tadi.[6]
Melakukan aqiqah tidaklah wajib kerana Abdurrahman bin Abi Sa’id meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. ditanya berkenaan dengan aqiqah? Lalu baginda bersabda;
لا أحب العقوق ومن ولد له ولد فأحب أن ينسك له فليفعل
“Aku tidak al-‘Aquq.[7] Sesiapa yang memperolehi anak kecil, lalu ia suka untuk menyembelih (aqiqah) untuknya, maka lakukanlah”. (Riwayat Imam Abu Daud).
Dalam hadis di atas Rasulullah mengikat sembelihan aqiqah tersebut dengan “ia suka”. Maka ini menunjukkan bahawa aqiqah tidak wajib. Selain itu, aqiqah adalah darah yang ditumpahkan (yakni sembelihan yang dilakukan) tanpa disebabkan oleh sebarang jenayah dan juga nazar, maka oleh itu ia tidaklah wajib sebagaimana korban.[8]
Siapa yang dituntut melakukan aqiqah?
Orang yang disunatkan melakukan aqiqah bagi seorang bayi ialah orang yang berkewajipan menanggung nafkahnya. Kerana itu, harga aqiqah dibebankan kepadanya, bukan kepada bayi. Jika ia melakukan aqiqah dengan mengambil dari harta/wang bayi, maka wajib diganti. Ini kerana aqiqah itu tergolong dalam tabarru’ (derma) dan ditegah wali/penjaga melakukan tabarru’ (derma) dengan harta anak di bawah jagaannya. [9]
Disunatkan mengaqiqahi anak apabila mampu. Ukuran kemampuan ialah sebelum tamat tempoh nifas yang terpanjang bagi ibu yang melahirkan bayi tersebut. Jadi, jika seorang wali/penjaga yang menanggung nafkah bayi tidak ada kemampuan untuk melakukan aqiqah semasa anak dilahirkan, namun jika sebelum tamat tempoh nifas terpanjang itu ia mendapat kesenangan dan mampu melakukan aqiqah, maka sunat aqiqah itu masih dituntut ke atasnya.[10] Namun jika sepanjang tempoh nifas tersebut ia masih susah (yakni masih tidak mampu), maka gugurlah tuntutan aqiqah itu darinya.[11]
Menurut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari; jika ayah dari anak yang lahir dalam keadaan tidak mampu, maka sunat bagi datuknya yang mampu melaksanakan aqiqah cucunya sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. ke atas cucunya Hasan dan Husin kerana yang memberikan nafkah kepada keduanya adalah Rasulullah kerana orang tuanya tidak mampu….[12]
Ibu tidak sunat mengaqiqahi anaknya kecuali apabila ayah tidak mampu. Anak zina yang wajib memberi nafkahnya adalah ibunya, maka sunat bagi ibu mengaqiqahi anaknya. Ini adalah Ibnu Hajar dan Syeikh Ramli. Adapun Syeikh Khatib Syarbini berpendapat; tidak sunat bagi ibu mengaqiqahi anak yang dilahirkan kerana zina sekalipun ia wajib menaggung nafkahnya kerana melaksanakan aqiqah akan menambah malu kepada anak itu.[13]
Binatang yang sunat diaqiqahkan
Terhasil sunat aqiqah apabila wali menyembelih untuk anaknya seekor kambing sama ada anak itu lelaki atau perempuan.[14] Terdapat riwayat di mana Saidina Ali menceritakan;
عقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وسَلَّم عن الحسنِ بشاةٍ وقال يا فاطمةُ احلقي رأسهُ وتصدَّقي بزنِةِ شعرهِ فضَّةً فوزنتهُ فكانَ وزنهُ درهما أو بعضَ درهمٍ
“Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah bagi Hasan dengan seekor kambing dan baginda berkata kepada Fatimah; ‘Cukurlah rambutnya, kemudian sedekahkanlah seberat timbangan rambutnya itu perak’. Ali berkata; Lalu aku menimbangnya, maka beratnya ialah satu dirham atau beberapa dirham”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Begitu juga, riwayat dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;
أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- عقَّ عن الحسن والحسين -رضي الله عنهما- كبشاً كبشاً
“Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”. (Riwayat Imam Abu Daud)
Namun yang afdhal (yakni yang paling baik) bagi anak lelaki ialah dua ekor kambing. Ini berdasarkan riwayat Ummu Kurzin yang menceritakan; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (berkenaan Aqiqah);
عن الغلام شاتان مكافئتان، وعن الجارية شاةٌ
“Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing”. (Riwayat Abu Daud)
Sembelihan aqiqah disyari’atkan untuk menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran anak dan kegembiraan dengan lahirnya anak lelaki biasanya lebih besar, oleh itu sembelihan juga digalakkan lebih banyak dari kepada anak perempuan.[15]
Apakah harus beraqiqah dengan unta dan lembu? Jawapannya adalah harus di mana 1/7 bahagian unta atau lembu menyamai seekor kambing. Oleh itu, seekor unta atau lembu boleh dijadikan aqiqah untuk tujuh orang anak. Dan harus seorang yang ingin melakukan aqiqah berkongsi lembu atau unta dengan orang lain yang tidak berniat melakukan aqiqah seperti ia mengingini 1/7 atau 2/7 dari bahagian unta/lembu itu untuk aqiqah dan adapun bahagian selebihnya diingini oleh orang lain untuk dagingnya sahaja. Hukum ini sama sebagaimana yang disentuh dalam bab Korban terdahulu.[16]
Seekor kambing atau 1/7 bahagian lembu/unta hanya bagi seorang anak sahaja. Oleh demikian, jika seorang itu dilahirkan dua orang anak untuknya, kemudian ia hanya menyembelih seekor kambing sahaja untuk mereka berdua, tidak terhasil ibadah aqiqah untuknya. Ini termasuklah jika dua anak itu adalah anak kembarnya. Kesimpulannya, aqiqah hendaklah dilakukan mengikut bilangan anak. Bagi seorang anak seekor kambing. Jika dua orang, maka dua ekor kambing dan begitulah seterusnya. Hukum ini adalah berdasarkan hadis riwayat Ibnu ‘Abbas tadi yang menceritakan; “Rasulullah melakukan aqiqah bagi Hasan dan Husin dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)”.
Syarat-syarat binatang yang hendak diaqiqahkan
Hukum aqiqah sama seperti hukum korban iaitu sunat muakkad. Oleh itu, syarat binatang aqiqah sama seperti yang disyaratkan untuk ibadah korban dari segi jenisnya, umurnya dan bebasnya dari kecacatan yang menyebabkan kurang daging.[17] Begitu juga, ia menjadi wajib apabila dinazar atau ditentukan.[18] Sila rujuk huraian terperinci mengenainya dalam tajuk korban yang lalu.
Masa aqiqah[19]
Bermula masa/waktu melakukan aqiqah ialah apabila bayi telah sempurna lahir dari perut ibunya. Maka jika dilakukan sembelihan sebelum bayi lahir dengan sempurna, tidak dikira sebagai aqiqah. Ia hanya menjadi sembelihan untuk daging dan tidak akan mendapat sunat aqiqah.
Waktu aqiqah itu berterusan hinggalah bayi yang dilahirkan itu sampai umur baligh.[20] Apabila ia telah baligh, gugurlah tuntutan aqiqah dari penjaganya (seperti bapanya atau sebagainya) jika belum melaksanakannya. Namun digalakkan orang yang tidak diaqiqahkan sebelum balighnya melakukan sendiri aqiqahnya.
Walaupun harus dilakukan aqiqah sebaik saja bayi sempurna lahir, namun disunatkan ia dilakukan pada hari yang ketujuh kelahirannya bersama dengan memberi nama dan mencukur kepala yang juga disunatkan pada hari tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.;
كُلُّ غُلاَمٍ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ. تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ، وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ، وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan aqiqahnya; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Samurah r.a.)
Begitu juga, Saidatina Aisyah r.a. menceritakan;
عق رسول الله -صلَّى الله عليه وسلَّم- عن الحسن والحسين يوم السابع، وسماهما، وأمر أن يماط عن رؤوسهما الأذى
“Rasulullah s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi)[21]
Adakah hari ketujuh itu dikira dari hari lahir atau hari berikutnya? Menurut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; hari lahir adalah terhitung sebagai hari pertama. Ini bermakna hari ketujuh dikira bermula dari hari lahir, bukan dari hari selepasnya. Namun jika bayi dilahirkan pada waktu malam, dihitung hari berikutnya sebagai hari pertama.
Jika tidak dapat disembelih pada hari ketujuh, disunatkan menyembelih pada hari ke 14 (iaitu seminggu selepasnya). Jika tidak dapat pada hari ke 14, disunatkan pada hari ke 21 dan begitulah seterusnya (seminggu demi seminggu) hinggalah kepada umur baligh. Jika selepas baligh belum juga bayi diaqiqahkan, tidak dituntut lagi sunat aqiqah itu dari wali/penjaganya, akan tetapi digalakkan ia sendiri yang melakukan aqiqah untuk dirinya.[22]
Jika bayi ditakdirkan mati selepas dilahirkan, apakah sunat juga diaqiqahkan? Ya, sunat dilakukan juga aqiqah bagi bayi yang mati sama ada mati sebelum hari yang ke tujuh atau selepasnya dengan syarat bapa/penjaga telah berpeluang melakukan aqiqah ketika berlakunya kematian bayinya (yakni ada kemampuan untuk melakukan aqiqah, namun ditangguhnya hinggalah ke saat bayinya mati).[23]
Menyembelih dan melapah binatang aqiqah
Disyaratkan orang yang beraqiqah meniatkan ketika melakukan sembelihan bahawa binatang yang disembelihnya itu adalah aqiqah. Ini sebagaimana yang disyaratkan dalam korban.[24]
Disunatkan sembelihan aqiqah dilakukan pada awal hari (yakni waktu pagi).[25] Menurut Syeikh Taqiyyuddin Abu Bakar al-Husni; disunatkan menyembelihnya ketika terbit matahari.[26] Ketika menyembelih disunatkan membaca Bismillah, bertakbir dan melafazkan;
اللهم لك وإليك، هذه عقيقة _____
“Ya Allah, untukMu dan kepadaMu. Inilah aqiqah untuk _______ (sebutkan nama bayi yang diaqiqahkan untuknya)”.
Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan;
أن النبي صلى الله عليه وسلم عق عن الحسن والحسين وقال: قولوا بسم الله والله أكبر، اللهم لك وإليك، هذه عقيقة فلان
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin dan baginda bersabda; kamu ucapkanlah (ketika menyembelih aqiqah kamu);
بسم الله والله أكبر، اللهم لك وإليك، هذه عقيقة فلان
“Dengan nama Allah. Allah Tuhan Yang Maha Besar. Ya Allah, untukMu dan kepadaMu. Inilah aqiqah fulan_____”.
(Riwayat Imam al-Baihaqi dengan sanad yang hasan)[27]
Ketika melapah daging aqiqah, disunatkan tidak mematah atau memecahkan tulang-tulangnya, akan tetapi memotong atau memisahkan tulang-tulang dari sendi-sendinya. Ini sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan yang baik) bagi keselamatan anggota-anggota bayi yang dilahirkan itu.[28]
Penggunaan/Pengagihan daging aqiqah
Di sisi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie –sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Nawawi-; hukum aqiqah dalam masalah bersedekah dengannya, memakannya, memberi hadiah, menyimpannya, kadar yang dimakan dan tegahan menjualnya sama sebagaimana yang disebutkan dalam bab korban, tidak ada perbezaan.[29] Jadi pengagihan daging aqiqah sunat merangkumi tiga iaitu; dimakan oleh orang yang melakukan aqiqah dan keluarganya, disedekahkan kepada fakir miskin dan dihadiahkan kepada jiran atau sahabat-handai.[30]
Namun demikian, di sana ada sedikit perbezaan dalam cara pengagihan daging aqiqah dan daging korban. Daging aqiqah sunat dimasak[31] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana dalam korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya. Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[32]
Namun dikecualikan dari dimasak itu kaki binatang korban[33] di mana ia sunat diberikan kepada bidan yang menyambut bayi (القابلة) dalam keadaan mentah (yakni sebelum dimasak).[34] Diriwayatkan dari Saidina Ali r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menyuruh Fatimah r.a. di mana baginda bersabda;
زني شعر الحسين، وتصدقي بوزنه فضة، وأعطي القابلة رجل العقيقة
“Timbanglah rambut Husin dan bersedekahlah seberat timbangannya akan perak. Dan kamu berilah kepada bidan yang menyambutnya akan kaki binatang aqiqah”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim/al-Jami’ as-Saghir, hadis no. 4567. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh).
***والله أعلم بالصواب***
Nota Hujung
[1] Maksud “dipertaruhkan dengan aqiqahnya” ialah; pertumbuhan yang baik dan penjagaan yang sempurna bagi bayi itu dipertaruhkan dengan binatang yang disembelih untuknya. Ada pendapat menyatakan maknanya; bayi itu tidak akan memberi syafaat kepada dua ibu-bapanya jika ia tidak diaqiqahkan. (al-Fiqhul-Manhaji, jil. 4, hlm. 56)
[2] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[3] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[4] Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55.
[5] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.
[6] Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55.
[7] Yakni baginda tidak menyukai nama al-‘Aquq, maka kerana itu baginda menamakannya nasikah (نسيكة) yang dapat difahami dari kata baginda; (فأحب أن ينسك). (Rujuk: al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321).
[8] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[9] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324. Al-Fiqh al-Manhaji, jil. 3, hlm. 55. Fiqh Sunnah, jil. 2, hlm. 40. Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 369. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[10] Tutuntan aqiqah tidak akan luput dari wali/penjaga yang mampu sehingga bayinya mencapai umur baligh. Selepas itu tidak dituntut lagi ke atas wali melakukan aqiqah, akan tetapi digalakkan bayi itu sendiri melakukan aqiqah bagi dirinya bagi melaksanakan apa yang telah luput darinya. (Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[11] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 828.
[12] Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[13] Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
[14] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 57. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[15] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 841.
[16] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 56. Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321.
[17] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321. Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 88-89.
Termasuk juga yang sama ialah dari sudut binatang yang afdha. Maka binatang yang paling afdhal dibuat aqiqah ialah unta, kemudian lembu, kemudian biri-biri (ad-Dha’nu) dan akhirnya kambing biasa (al-Ma’az). (al-Majmu’, jil. 8, hlm. 321)
[18] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[19] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 323.
[20] Sebaik-baiknya aqiqah dilakukan pada hari yang ke tujuh. Jika tidak dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).
[21] Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 843. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[22] Berkata Imam al-Buwaiti; “Tidak diaqiqahkan untuk orang dewasa”. Maksud ungkapan ini –menurut Imam Nawawi- ialah; orang dewasa tidak disunatkan diaqiqahkan oleh orang lain, tetapi disunatkan untuk diaqiqahkan oleh dirinya sendiri. (al-Majmu’, jil. 8, hlm. 323).
[23] Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370.
Dalam Sabilal-Muhtadien dinyatakan; “Sunat mengaqiqahkan anak yang mati yang sempat hidup sekadar cukup waktu menyembelih aqiqah sekalipun meninggal sebelum hari ketujuh”. (Hlm. 913).
[24] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[25] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[26] Kifayatul-Akhyar, hlm. 535.
[27] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320.
[28] Al-Fiqhul-Manhaji, jil. 3, hlm. 59.
[29] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 324.
[30] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[31] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).
[32] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
[33] Dalam kitab Sabilal-Muhtadin disebutkan; “…kaki kanan sampai ke batang paha binatang aqiqah…”. (Hlm. 915)
[34] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 8:26 AM http://koleksi-alqalam.blogspot.my/2009/06/fiqh-aqiqah.html
PANDUAN MEMBERI NAMA ANAK
Wednesday, June 24, 2009
Disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana yang terdapat dalam sabda Nabi s.a.w.;[1]
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)[2]
Namun terdapat juga hadis-hadis yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. pernah memberi nama kepada bayi pada hari dilahirkan. Antaranya ialah hadis dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. yang menceritakan;
وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
“Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Nabbi s.a.w., maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jadi, yang menjadi sunnah dalam menamakan bayi ini ialah menamakannya pada hari ketujuh atau pada hari ia dilahirkan. Ini ditegaskan oleh Imam Nawawi dalam al-Azkar; “Yang menjadi sunnah ialah menamakan bayi pada hari ketujuh dari hari kelahirannya atau menamakannya pada hari kelahirannya”.[3] Walau bagaimanapun, Imam Bukhari telah bertindak menghimpunkan antara dua sunnah ini dengan menjelas; “Hadis-hadis yang menyebutkan hari kelahiran dimengertikan bagi orang yang tidak berniat melakukan aqiqah[4], dan adapun hadis-hadis yang menyebutkan hari ketujuh maka dimengertikan bagi orang yang ingin melakukan aqiqah bagi anaknya[5]”.[6]
Jika bayi yang dilahirkan ditakdirkan mati sebelum diberi nama, disunatkan juga diberi nama kepadanya. Begitu juga, sunat memberi nama anak yang gugur.[7]
Dalam masalah meletakkan nama ini, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut;[8]
a) Disunatkan memberi nama-nama yang elok dan baik kerana Nabi s.a.w. bersabda;
إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu sekelian akan diseur/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)
b) Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.;
إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman”. (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)
c) Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya.
Sabda Rasulullah s.a.w.;
تَسَمَّوا بأسْماءِ الأنْبِياءِ، وَأحَبُّ الأسْماءِ إلى اللّه تَعالى عَبْدُ اللّه وَعَبْدُ الرَّحْمَن، وأصْدَقُها: حَارِثٌ وَهمَّامٌ، وأقْبَحُها: حَرْبٌ وَمُرَّةُ
“Berilah[9] nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.)
Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Seorang lelaki dari kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu ‘Muhammad’. Lalu kaumnya berkata kepadanya; ‘Kami tidak akan membiarkan kamu memberi nama dengan nama Rasulullah s.a.w.’. Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi s.a.w. dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya ‘Muhammad’, lalu kaumku berkata kepadaku; ‘Kami tidak akan membiar kamu menamakan dengan nama Rasulullah s.a.w.”. Lantas Nabi menjawab;
تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، فَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ، أَقْسِمُ بَيْنَكُمْ
“Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggil dengan panggilanku (yakni Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah Qasim (pembahagi) yang membahagi di antara kamu”. (Riwayat Imam Muslim)
Sebagaimana sedia dimaklumi bahawa, Nabi s.a.w. telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim.
d) Menurut mazhab Syafi’ie, harus memberi nama dengan nama-nama Malaikat. Namun demikian, sebahagian ulama’ memakruhkannya. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Telah memakruhkan sebahagian ulama’ memberi nama dengan nama-nama Malaikat dan ia adalah pandangan al-Harith bin Miskin. Imam Malik memakruhkan memberi nama dengan Jibril dan Ya-sin”.[10]
e) Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk seperti Harb, Murrah, Kalb, ‘Ashiyah, Syaitan, Dzalim, Himar dan sebagainya.
Begitu juga, dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang dijadikan tengok nasib dengan penafiannya pada adat/kebiasaan seperti nama-nama yang terkandung dalam sabda Nabi s.a.w.;
لاَ تُسَمِّيَنَّ غُلاَمَكَ يَسَاراً، وَلاَ رَبَاحاً، وَلاَ نَجِيحاً، وَلاَ أَفْلَحَ، فَإِنَّكَ تَقُولُ: أَثَمَّ هُوَ؟ فَلاَ يَكُونُ، فَيَقُولُ: لاَ". إِنَّمَا هُنَّ أَرْبَعٌ، فَلاَ تَزِيدُنَّ عَلَيَّ.
“Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar (mudah), Rabah (untung), Najih (berjaya) dan Aflah (berjaya). Kerana sesungguhnya jika kamu bertanya seseorang; Apakah ada di sana (Yasar[11], Rabah dan sebagainya itu)? Lalu ia menjawab; ‘Tidak ada’. Sesungguhnya nama-nama itu hanya empat. Maka jangan kamu menambah ke atas apa yang aku sebutkan itu[12]”. (Riwayat Imam Muslim dari Samurah bin Jundab r.a.)
Menurut Imam Nawawi, faktor dimakruhkan nama-nama tersebut (dalam hadis) ialah; buruk/jeliknya jawapan dan juga nama-nama tersebut ada kemungkinan menjatuhkan sebahagian orang ke dalam suatu bentuk perbuatan menengok untung/nasib”.[13] (Contohnya; apabila ditanya; ‘Adakah di sana ada Rabah (yang bermaksud; untung)?’, lalu dijawab; ‘Ada’. Apabila orang yang suka menengok/menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung).
f) Diharamkan memberi nama dengan nama “Malikul-Amlak” yang bermaksud; ‘Raja bagi segala raja’.
Sabda Rasulullah s.a.w.;
إنَّ أخْنَعَ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ تَعالى رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الأمْلاكِ
“Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)
Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda;
أَغْيَظُ رَجُلٍ عَلَى اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَخْبَثُهُ، رَجُلٌ كَانَ يُسَمَّى مَلِكَ الأَمْلاَكِ، لاَ مَلِكَ إِلاَّ اللَّهُ
“Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Berkata Imam Nawawi; berkata para ulama’; memberi nama dengan nama ini (yakni Malikul-Amlak) adalah haram.[14]
g) Hendaklah dijauhi dari nama-nama yang menunjukkan pengabdian/penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan; memberi nama dengan nama-nama ini hukumnya adalah haram dengan sepakat para ulama’.[15]
h) Begitu juga, hendaklah dijauhi dari memberi nama dengan nama-nama yang menggambarkan hilang/leburnya jati-diri (sebagai seorang muslim), meniru-niru (nama orang bukan Islam) dan nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi seperti nama Huyam (gila berahi), Susan dan sebagainya.[16]
i) Disunatkan mengubah nama yang buruk atau yang tidak baik kerana Nabi s.a.w. telah melakukannya kepada para sahabat baginda.
Ibnu Umar r.a. menceritakan;
أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: "أَنْتِ جَمِيلَةُ".
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)
Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah). Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)
***والله أعلم بالصواب***
NOTA HUJUNG
[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 326.
[2] Lihat hadis ini dalam Ad-Darari al-Madhiyyah, hlm. 391 dan al-Majmu’, jil. 8, hlm. 326.
[3] Al-Azkar, kitab al-Asma’.
[4] Yakni bagi orang yang tidak berniat melakukan aqiqah pada hari ketujuh disunatkan ia memberi nama bayinya pada hari dilahirkan.
[5] Yakni bagi sesiapa yang berniat untuk melakukan aqiqah untuk anaknya pada hari ketujuh, disunatkan ia menunggu hingga hari ketujuh untuk mengisytiharkan nama anaknya iaitu bersama dengan menyembelih aqiqah dan mencukur rambut.
[6] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 826.
[7] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 327.
[8] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 325-329.
[9] Al-Amar (suruhan) di sini menurut Imam al-Minawi bermaksud al-Ibahah (Pengharusan) (Lihat Faidhul-Qadier, hadis no. 3300).
[10] Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab (bab an-Nahyi ‘an at-Takanni bi abil-Qasim wa Bayani ma yustahabbu minal-Asma’).
[11] Sebagai contohnya; seseorang itu diberi nama Yasar oleh bapanya yang bermaksud “mudah”. Maka suatu hari bapanya bertanya seseorang; ‘Apakah Yasar ada di sana?’. Lalu dijawab; ‘Tidak ada’. Jawapan ini boleh difahami oleh orang yang mendengar sebagai ‘tidak ada kemudahan’, walhal yang dimaksudkan oleh bapanya itu ialah anaknya yang bernama Yasar itu. Maka nama sebegini bagi sesetengah orang dijadikan sebagai satu cara untuk menengok untung/nasib bagi sesuatu perkara atau hari.
[12] Kata Imam Nawawi; maksudnya ialah; jangan kamu menaqalkan dariku lain dari yang empat ini (yakni; aku hanya menyebutkan empat sahaja. Maka jangan kamu mengada-ngadakan yang lainnya dengan mengatakan aku menyebutnya). Ini –menurut Imam Nawawi- tidak bermakna dilarang menqiaskan nama-nama lain di atas empat nama ini yakni yang memberi implikasi serupa dengannya, kerana maksud larangan tersebut ialah menyandarkan kepada Nabi apa yang tidak disebutnya. (Rujuk; Soheh Muslim bisyarhi Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab, Bab Karahah at-Tasmiah Bil-Asma’ al-Qabihah).
[13] Soheh Muslim bisyarhi Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab, Bab Karahah at-Tasmiah Bil-Asma’ al-Qabihah.
[14] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 328.
[15] Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87.
[16] Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 8:43 AM
KEDUDUKAN SERBAN MENGIKUT PENILAIAN ULAMAK ISLAM
Friday, April 1, 2011
Kebanyakan orang yang berserban apabila ditanya “Kenapa anda memakai serban?”, mereka akan menjawab; “Kerana saya ingin mengikuti Nabi s.a.w. dalam berpakaian (khususnya dalam hal menutup bahagian kepala)”. Serban adalah antara pakaian Nabi s.a.w.. Sama ada kita berpandangan pemakaian serban itu sunat atau tidak, mendapat pahala atau tidak mendapat pahala, kita tidak boleh menafikan bahawa Nabi s.a.w. sememangnya memakai serban dalam hidupnya. Oleh perbahasan tentang pemakaian serban ini kita akan mulakan dengan membahaskan tentang pengertian as-Sunnah dan ruang lingkupnya terlebih dahulu.
Pengertian as-Sunnah
Apa yang terbit dari Nabi s.a.w. dinamakan as-Sunnah. Secara amnya para ulamak mentakrifkan as-Sunnah sebagai; “Segala yang terbit dari Nabi s.a.w. -selain dari al-Quran- sama ada ucapan baginda, perbuatan baginda atau pengakuan baginda”. Berdasarkan takrifan ini, maka as-Sunnah dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu;
1. Sunnah Qauliyah
Iaitu perkataan-perkataan yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. dalam pelbagai sempena dan tujuan. Kebiasaannya dipanggil dengan al-Hadith (الحديث) di mana apabila disebut sahaja al-Hadith maka difahami bahawa yang dimaksudkan ialah Sunnah Qauliyah (yakni ucapan-ucapan Nabi s.a.w.).
2. Sunnah Fi’liyah
Iaitu apa-apa yang dilakukan atau dikerjakan oleh Nabi s.a.w.. Contoh Sunnah Fi’liyah ini juga banyak, antaranya; perlaksanaan solat dengan bentuk-bentuk dan rukun-rukunnya, perlaksanaan haji, pengadilan baginda dalam penghakiman dan sebagainya.
3. Sunnah Taqririyah
Iaitu senyap Nabi terhadap perbuatan atau percakapan yang berlaku di hadapan baginda iaitu baginda tidak mengingkarinya. Senyapnya baginda itu menunjukkan bahawa perbuatan atau percakapan itu adalah harus di sisi Syara’ kerana seorang nabi tidak akan sekali-kali membisu apabila berhadapan dengan kebatilan.
Perbuatan Nabi dan ruang-lingkupnya
Antara yang tergolong dalam as-Sunnah ialah perbuatan Nabi s.a.w.. Perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. ada yang berkait dengan urusan agama secara langsung (seperti urusan ibadat, ketetapan hakam, halal dan haram dan sebagainya), ada yang berkait dengan urusan duniawi (seperti politik, masyarakat, ketenteraan dan seumpamanya) dan ada yang berkait dengan amalan rutin atau kebiasaan sebagai manusia (antaranya makanan, pakain, kenderaan dan sebagainya). Secara lebih jelas, Syeikh Muhammad al-Hadhari dalam bukunya “أصول الفقه” menjelaskan; “Perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. terdiri dari tiga kategori;
a) Jibilli (جبلي); iaitu perbuatan yang bersifat tabi’ie atau kebiasaan sebagai manusia seperti makan, minum, tidur, berpakaian dan yang seumpamanya.
b) Qurb (قرب); iaitu perbuatan untuk taat atau mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, puasa, sedekah dan yang semisal dengannya.
c) Mu’amalat (معاملات); iaitu perbuatan yang berupa interaksi sesama manusia seperti jual-beli, perkahwinan, akad muzara’ah, mu’amalat harta dan semisalnya.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menjelaskan; “Di antara yang dapat diperhatikan ialah dari kalangan fi’liyah Nabi s.a.w. ada yang terbit dari jibiliyyah dan tabi’iyyah (yakni kebiasaan dan tabi’ie sebagai manusia) seperti riwayat soheh yang menceritakan; “Adalah Nabi menyukai labu (الدباء/القرع)”. Begitu juga, riwayat yang menceritakan; “Baginda menyukai daging di bahagian kaki (kambing atau sebagainya)”. Di antara sunnah Fi’liyyah ada juga yang terbit dari adat/kebiasaan seperti memakai serban dan melepaskan ekornya antara dua bahu. Di antara sunnah fi’liyyah itu juga ada yang terbit dari baginda dalam bentuk qurbah iaitu yang dilakukan dengan maksud mendekatkan diri kepada Allah ketika melakukannya seperti perbuatan-perbuatan baginda dalam solat, ketika haji dan umrah, zikir-zikir dan doa dan yang lain lagi seumpamanya…”.
Pendirian ulamak usul tentang perbuatan jibilliyyah dan tabi’iyyah Nabi s.a.w..
Serban termasuk dalam jenis pakaian. Oleh demikian pemakaian serban oleh Nabi s.a.w. sudah tentunya termasuk dalam kategori perbuatan jibiliyyah atau perbuatan kebiasaan baginda sebagai seorang manusia. Menyentuh tentang perbuatan jibiliyyah ini, apa pandangan ulamak tentangnya khususnya ulamak usul? Di bawah tajuk ini kita akan kemukakan beberapa ulasan kitab-kitab Usul Fiqh berhubung persoalan tersebut. Jawapan bagi persolaan ini amat penting kerana ia akan menentukan sikap kita terhadap pemakaian serban serta amalan-amalan kebiasaan Nabi yang lain.
Dalam kitab Nuzhatul-Musytaq (Syarah al-Luma’), pengarangnya menegaskan; “Perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. sama ada ia berupa qurbah dan taat atau bukan berupa qurbah dan taat. Jika ia tidak berupa qurbah dan taat, akan tetapi menyerupai urusan jibiliyy (kebiasaan manusiawi) seperti urusan makan, minum, berdiri, duduk dan sebagainya dari apa yang nampak ketara padanya urusan jibiliyyah, maka ia berdiri di atas hukum ibahah (yakni harus) di sisi jumhur ulamak sama ada bagi diri baginda dan umatnya. Namun Qadhi Abu Bakar al-Baqilani menaqalkan dari sekumpulan ulamak bahawa ia adalah mandub (yakni sunat mengikutinya). Adalah Abdullah bin Umar r.a. sentiasa memberi perhatian kepada perbuatan-perbuatan Nabi seumpama itu dan mengikutinya sebagaimana yang diketahui dan dinaqalkan di dalam kitab-kitab as-Sunnah”.
Lebih terperinci, Imam as-Syaukani menjelaskan dalam kitab usulnya yang masyhur iaitu Irsyadil-Fuhul; “Perbuatan Nabi s.a.w. yang tidak berkait dengan ibadat dan nampak nyata padanya urusan jibiliyyah (yakni kebiasaan sebagai seorang manusia) seperti berdiri, duduk dan sebagainya, maka tidak ada padanya kewajipan mengikut atau mematuhinya, akan tetapi ia menunjukkan kepada keharusan berdasarkan pandangan jumhur/majoriti ulamak. Qadhi Abu Bakar al-Baqilani menaqalkan dari sekumpulan ulamak yang berpendapat bahawa ia adalah sunat (yakni digalakkan mengikutinya). (Pandangan yang sama) diceritakan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Mankhul. Begitu juga, Abdullah bin Umar r.a. sentiasa memberi perhatian kepada perbuatan-perbuatan Nabi seumpama itu dan mengikutinya sebagaimana yang sedia diketahui dari beliau dan dinaqalkan di dalam kitab-kitab hadis..”. (*Sikap dan pendirian Ibnu Umar ini kita akan kemukakan di dalam satu tajuk yang khusus di depan nanti).
Beliau menjelaskan lagi; “(Di antara perbuatan Nabi s.a.w.), ada yang dapat diandaikan telah keluar dari semata-mata kebiasaan (jibilliy) kepada menjadi Syari’at dengan kerana berterusan baginda melakukannya dalam bentuk yang diketahui umum dan dalam keadaan yang khusus. Ia seperti perbuatan makan, minum, berpakain dan tidur. Maka perbuatan Nabi yang berada dalam kategori ini sekalipun tahapnya di bawah kategori perbuatan-perbuatan baginda yang nampak padanya urusan Qurbah (ibadah dan ketaatan), namun ia lebih atas dari perbuatan-perbuatan yang nampak padanya urusan jibilliy (kebiasaan manusiawi) semata-mata. Itu sekiranya perbuatan tersebut tanpa terdapat petunjuk atau dorongan dari Nabi (yakni baginda hanya melakukannya sahaja). Namun jika terdapat petunjuk atau dorongan dari baginda seperti baginda menunjukkan kepada suatu cara dari cara-cara makan, minum, berpakaian, tidur dan sebagainya, maka ia terkeluar dari semata-mata kategori ini (yakni kategori sebagai perbuatan jibilli) dan berpindah menjadi kategori amalan atau perbuatan yang disyari’atkan. Imam Syafi’ie mempunyai dua pandangan (yang dinaqalkan darinya) berkenaan perbuatan Nabi s.a.w. yang termasuk kategori ini; apakah ia merujuk kepada asal iaitu tidak disyari’atkan, atau merujuk kepada apa yang zahir, iaitu disyari’atkan. Pandangan yang rajih dari beliau ialah yang kedua iaitu disyari’atkan. Pandangan ini juga diceritakan oleh Imam Abu Ishaq dari majoriti ahli-ahli hadis. Oleh demikian, kedudukannya adalah sunat (mandub)”.
Dr. Abdul Karim Zaidan kitabnya al-Wajiz Fi Ushul al-Fiqh menjelaskan; “Perbuatan-perbuatan jibilliyah iaitu yang terbit dari Nabi s.a.w. kerana tabi’ie (kebiasaan semulajadi) dan atas sifatnya sebagai manusia seperti makan, minum, berjalan, duduk dan sebagainya; maka ia tidak tergolong dalam kategori Tasyrik kecuali atas perkiraan keharusannya ke atas sekelian mukallaf. Oleh demikian tidak wajib mengikuti Rasulullah s.a.w. dalam cara perlakuan baginda bagi perbuatan-perbuatan tersebut. Namun sebahagian sahabat ada yang menanamkan hasrat mengikuti Nabi s.a.w. dalam perbuatan-perbuatan tersebut. Contohnya Abdullah bin Umar r.a.. Ikutan tersebut adalah satu langkah yang baik (sekalipun tidak diwajibkan-pent.)”.
Kesimpulan;
Dari pandangan ilmu usul di atas, kita dapat simpulkan bahawa majoriti ulamak meletakkan amalan-amalan atau perbuatan-perbuatan Nabi s.a.w. yang berada dalam kategori jibilliy (yakni amalan atau perbuatan tabi’ie sebagai seorang manusia) adalah berstatus harus sama ada bagi diri baginda atau bagi umatnya. Oleh kerana ia berstatus harus sahaja, maka kaum muslimin tidak diwajibkan atau dituntut mengikuti baginda dalam urusan jibilliy tersebut. Namun jika mereka ingin mengikuti baginda –bukan atas dasar wajib atau tuntutan- tetapi atas dasar ingin meniru baginda atau sebagai tanda kasih kepada baginda, maka ia diharuskan. Malah menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, ikutan tersebut adalah baik kerana mencontohi sikap sebahagian sahabat.
Adapun Imam as-Syaukani, dari penjelasan beliau kita dapat membahagikan amalan atau perbuatan jibilliy Nabi s.a.w. kepada tiga tahap;
a) Ada di antaranya yang bersifat harus semata-mata mengikut jumhur ulamak.
b) Ada di antaranya yang lebih tinggi dari bersifat harus semata-mata iaitu ia menghampiri urusan qurbah (ketaatan atau ibadah) kerana berterusan dilakukan oleh Nabi s.a.w..
c) Ada di antaranya yang telah berubah dari semata-mata kebiasaan Nabi kepada menjadi Syari’at iaitu apabila terdapat penegasan atau dorongan dari Nabi s.a.w..
Bagaimana dengan pemakaian serban? Adakah ia berada di tahap pertama, kedua atau ketiga? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu meninjau dengan lebih luas hadis-hadis yang menceritakan secara lansung amalan berserban oleh Nabi s.a.w..; Apakah ia merupakan amalan yang dilakukan tanpa perhatian oleh baginda? Apakah ia menjadi amalan baginda yang berterusan yang sentiasa dijaga? Dan adakah terdapat dorongan dari baginda terhadap pemakaian serban?
Hadis-hadis tentang serban
Serban atau dalam bahasa Arabnya dipanggil al-‘Imamah sekalipun tidak bernilai Syari’at pada asasnya kerana ia berstatus amalan jibilli, namun kitab-kitab hadis muktabar tidak ketinggalan menaqalkan tentang serban Nabi s.a.w.. Malah ada yang meletakkannya di dalam bab yang khusus. Ini dapat kita lihat dari senarai bab dalam kitab-kitab hadis berikut;
• سنن الترمذي( بَابُ مَا جَاءَ في العمامةِ السَّوداءِ)
• سُنَنُ أبي دَاوُد (باب في العمائم)
• سنن ابن ماجه (باب لُبس العمائم في الحرب، باب العمامة السوداء ،باب إرخاء العمامة بين الكتفين)
• سنن النسائي (لبس العمائم الحرقانية، لبس العمائم السود، لبس العمائم السود، باب إرخاء طرف العمامة بين الكتفين)
• معجم الطبراني الكبير (باب ما جاء في لبس العمائم والدعاء وغير ذلك)
• رياض الصالحين (باب صفة طول القميص والكم والإزار وطرف العمامة وتحريم إسبال شيء من ذلك على سبيل الخيلاء وكراهته من غير خيلاء).
• نيل الأوطار (باب ما جاء في لبس القميص والعمامة والسراويل)
• الشمائل المحمدية للإمام الترمذي (باب ما جاء في عمامة رسول الله).
Fakta tersebut menggambarkan bahawa serban Nabi mempunyai nilai tersendiri di mata para sahabat yang menjadi perawi pertama dari Nabi sehingga mereka memerhatinya pada baginda dan menceritakannya kepada generasi selepas mereka. Para ulamak dan muhaddithin juga bersikap serupa sehingga mereka meletakkan satu bab yang khusus dalam kitab hadis atau sunan mereka menyentuh tentang serban Nabi s.a.w.. Di antara hadis-hadis yang akan kita temui dalam rujukan-rujukan hadis muktabar tentang serban Nabi s.a.w. ialah;
a) Jabir bin Salim r.a. menceritakan;
إن رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم دخل مكة وعليه عمامة سوداء
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memasuki Mekah dengan memakai serban berwarna hitam”. (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah).
Berkata Ibnu Hajar; “Warna hitam di sini seakan-akan menunjukkan fungsi kepimpinan Rasulullah s.a.w. pada hari yang bersejarah ini dan boleh jadi juga warna hitam di sini bukan satu perkara yang menjadi matlamat (yakni hanya kebetulan sahaja)”. Berkata Ahmad Abdul Jawad ad-Dumi dalam mengulas hadis ini; “Hadis ini menunjukkan bahawa pemakaian serban adalah lebih utama berbanding pakaian yang lain”.
Berkata Imam Nawawi; “Memakai warna putih adalah lebih utama dan serban putih adalah lebih sesuai sebagai perhiasan para ulamak pada zaman ini”. Saranan Imam Nawawi ini menepati hadis Rasulullah s.a.w.;
عن سمرة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: البسوا البياض فإنها أطهر وأطيب، وكفنوا فيها موتاكم
Dari Samurah bin Jundab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu”.
(Sunan at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad)
b) Nafi’ meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;
وعن نافع عن ابن عمر قال: كان النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم إذا اعتم سدل عمامته بين كتفيه قال نافع: وكان ابن عمر يسدل عمامته بين كتفيه.
“Adalah Nabi s.a.w. apabila memakai serban, baginda melepaskan ekor serbannya di antara dua bahunya”. Berkata Nafi’; Ibnu Umar apabila memakai serban, beliau melepas ekor serbannya antara dua bahunya (yakni kerana mengikuti perbuatan Nabi s.a.w.).
(Riwayat Imam at-Tirmizi dengan sanad yang hasan)
Berkata Imam asy-Syaukani ketika mengulas hadis ini; “Hadis ini menunjukkan bahawa sunat memakai serban…..dan sunat pula menjuntaikan ekor serban di antara kedua bahu”.
Berdasarkan kenyataan beliau itu, maka kita dapat menyimpulkan bahawa pada pandangan Imam as-Syaukani, pemakaian serban adalah sunat.
c) Diriwayatkan oleh Jaafar bin Amru bin Harith dari bapanya yang menceritakan;
رأيت النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم على المنبر وعليه عمامة سوداء قد أرخى طرفها بين كتفيه
“Aku telah melihat Nabi s.a.w. di atas mimbar dengan memakai serban hitam di mana ia telah melepaskan ekornya di antara dua bahunya”.
(Riwayat Imam Muslim, at-Tirmizi, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah)
d) Ibnu ‘Adiyy meriwayatkan dari Jabir r.a. yang menceritakan;
كان للنبي صلى اللَّه عليه وسلم عمامة سوداء يلبسها في العيدين ويرخيها خلفه
“Bahawa bagi Nabi s.a.w. serban hitam yang dipakainya pada hari raya dan baginda menjuntaikan ekornya ke belakangnya”. (Riwayat Ibnu ‘Adiyy)
Hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa memakai serban menjadi kelaziman Nabi s.a.w. di mana baginda memakainya ketika membaca khutbah, pada hari raya, ketika peperangan termasuklah ketika pembukaan kota Mekah. Malah terdapat hadis menceritakan baginda tidak menanggalnya sekalipun ketika mengambil wudhuk.
Diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a. yang menceritakan;
رأيت رسول الله -صلى الله عليه وسلم- يتوضأ وعليه عمامةٌ قطريَّةٌ، فأدخل يده من تحت العمامة فمسح مقدَّم رأسه ولم ينقض العمامة.
“Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk dalam keadaan berserban di mana baginda memasukkan tangannya ke bawah serbannya lalu menyapu hadapan kepalanya. Baginda tidak menanggalkan serbannya”. (Riwayat Imam Abu Daud)
Nabi s.a.w. mengajar sahabat memakai serban
Selain hadis-hadis yang menceritakan tentang serban Nabi s.a.w., di sana terdapat juga hadis yang menceritakan tentang baginda memakaikan serban kepada sahabatnya atau mengajar mereka bagaimana cara yang sepatutnya berserban.
Imam at-Thabrani meriwayatkan di dalam al-Ausat (الأوسط) dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan;
أن النبي صلى اللَّه عليه وآله وسلم عمم عبد الرحمن بن عوف فأرسل من خلفه أربع أصابع أو نحوها ثم قال: هكذا فاعتم فإنه أعرب وأحسن
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakaikan serban kepada Abdur-Rahman bin ‘Auf r.a, di mana baginda melepaskan ekor serban itu ke belakangnya sepanjang empat jari atau seumpamanya, kemudian baginda berkata; Beginilah memakai serban. Sesungguhnya ia lebih kemas dan lebih cantik”.
(Hadis ini menurut Imam as-Suyuti adalah hasan. Hadis ini menunjukkan bahawa berserban adalah sunat).
Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abdur-Rahman bin ‘Auf r.a. yang menceritakan;
عممني رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم
“Rasulullah s.a.w. telah memakaikan serban kepadaku…....”.
Imam at-Tabrani meriwayatkan dari Abdullah bin Yasir yang menceritakan;
بعث رسول اللَّه صلى اللَّه عليه وآله وسلم علي ابن أبي طالب عليه السلام إلى خيبر فعممه بعمامة سوداء
“Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Saidina Ali bin Abi Thalib ke Khaibar, lalu baginda memakaikan serban kepadanya dengan serban berwarna hitam”. (Hadis ini menurut Imam as-Suyuti adalah hasan)
Hadis-hadis tentang fadhilat serban
a) Diriwayatkan dari Rukanah bin Abd Yazid al-Hasyimi r.a. yang menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda;
إنَّ فرقَ ما بينَنَا وبين المشركينَ العمائمُ على القلانِسِ
“Perbezaan antara kita dan orang-orang Musyrikin ialah memakai serban di atas kopiah”.
(Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan al-Baihaqi. Menurut Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (hadis no. 5849); hadis ini dhaif)
b) Dari Jabir r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda;
ركعتان بعمامة خير من سبعين ركعة بلا عمامة
“Dua rakaat solat dengan berserban lebih baik dari 70 rakaat tanpa serban”. (Riwayat Imam ad-Dailami dalam Musnad al-Firdaus. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah dhaif. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 4468)
c) Dari Ibnu Umar r.a. menceritakan sabda Nabi s.a.w.;
صلاة تطوع أو فريضة بعمامة تعدل خمسا وعشرين درجة بلا عمامة، وجمعة بعمامة تعدل سبعين جمعة بلا عمامة
“Melakukan solat sunat atau fardhu dengan memakai serban adalah menyamai pahalanya dua puluh lima darjat tanpa serban. Solat Jumaat tanpa serban menyamai 70 Jumaat tanpa serban”.
(Riwayat Ibnu ‘Asakir dari Ibnu Umar r.a.. Menurut Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (hadis no. 5101); hadis ini adalah soheh. Namun ada ulamak berpandangan hadis ini lemah sebagaimana dijelaskan dalam Faidhul-Qadier oleh Imam al-Minawi)
d) Dari Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda;
اعتموا تزدادوا حلما
“Berserbanlah kamu, nercaya akan bertambah sifat hilm (kesabaran) pada diri kamu”.
(Riwayat Imam at-Tabrani dan al-Hakim. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Begitu juga Imam as-Suyuti dalam al-Jami’ as-Saghier (hadis no. 1142) menyatakannya sebagai soheh. Namun ada juga ulamak yang menyatakannya sebagai dhaif seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Minawi dalam Faidhul-Qadier).
e) Dari Usamah bin ‘Umair r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;
اعتموا تزدادوا حلما، والعمائم تيجان العرب
“Pakailah serban, nescaya akan bertambah sifat hilm (kesabaran) pada diri kamu. Serban itu adalah mahkota orang-orang Arab”. (Riwayat Ibnu al-‘Adiy dan al-Baihaqi. Menurut as-Suyuti; hadis ini dhaif. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1143).
Kedudukan darjat hadis-hadis tentang serban
Dengan meneliti hadis-hadis tentang serban sebagaimana yang dibentangkan tadi, kita akan mendapati bahawa hadis-hadis tersebut berada dalam dua kategori;
Pertama; hadis-hadis yang menceritakan dan menerangkan bahawa Nabi s.a.w. pernah berserban. Hadis-hadis dalam kategori ini bertaraf soheh kerana diriwayatkan oleh Imam Muslim di samping Imam-Imam yang lain seperti Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. (Sila perhati kembali tajuk “Hadis-hadis berkenaan serban Nabi s.a.w.” tadi).
Kedua; Hadis-hadis yang menyuruh berserban dan yang menyebutkan fadhilat memakainya. Hadis-hadis yang dalam kategori ini menurut penilaian muhaddithin adalah bertaraf dhaif.
Berdasarkan analisa di atas, maka kenyataan setengah pihak bahawa hadis-hadis tentang serban adalah dhaif belaka, kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan tidak berhati-hati. Ia boleh mengelirukan orang awam kerana mereka akan menganggap semua hadis tentang serban adalah lemah dan tidak bernilai, walhal hadis-hadis tentang Nabi berserban adalah soheh. Yang dhaif hanyalah hadis-hadis yang berupa suruhan atau galakan berserban. Adapun hadis-hadis yang berupa pernyataan atau pemberitahuan bahawa Nabi berserban adalah soheh dan dapat dijadikan hujah.
Mungkin ada yang mempersoalkan; apa gunanya hadis yang hanya berupa pernyataan atau pemberitahuan itu bagi amalan berserban pada zaman hari ini? Jawapan kita ialah; Walaupun hadis soheh tentang serban hanya berbentuk memberitahu, bukan dalam bentuk menyuruh, akan tetapi berdasarkan kepada kedudukan Nabi sebagai uswah dan teladan yang paling baik, maka memakai serban dengan niat meniru baginda ada kebaikan dan pahalanya. Dalam pengertian yang lain dapat kita simpulkan bahawa; Sekalipun tiada suruhan secara Tasyri’ agar kita berserban, namun dengan niat ikhlas untuk mencontohi dan meneladani apa yang pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat, tabiin dan ulamak serta diiringi pula oleh niat baik untuk menghias diri, maka insyaAllah kita akan dikurniakan pahala oleh Allah.
Tambahan pula, pemakaian serban itu diperkukuhkan pula oleh hadis-hadis yang menyebutkan fadhilatnya sekalipun bertaraf dhaif kerana jumhur ulamak berpandangan hadis dhaif harus di amalkan dalam fadhilat amalan dengan syarat-syarat berikut;
1. Ia tidak terlalu dhaif
2. Amalannya telah sabit dengan dalil yang sahih. Adapun hadis dhaif hanya bersifat sampingan yang mensabitkan fadhilatnya sahaja.
3. Hendaklah beramal dengan iktiqad bahawa ia tidak sabit dari Rasulullah s.a.w.. iaitu beramal atas dasar ihtiyat sahaja.
Berkata Imam an-Nawawi; “Para ulamak di kalangan muhaddithin dan fuqahak mengharuskan malah menyukai beramal dengan hadis dhaif dalam fadhilat-fadhilat, targhib (memberi dorongan) dan tarhib (memberi ancaman) selagi ia tidak maudhu’ (yakni bukan hadis palsu). Adapun dalam masalah hukum-hakam seperti halal dan haram, nikah-kahwin, talak dan sebagainya maka tidak amalkan melainkan dengan hadis soheh atau hasan….”.
Ulasan Syeikh Rasyid Redha
Syeikh Muhammad Rasyid Redha pernah ditanya adakah memakai serban itu sunnah Rasulullah dan adakah orang yang memakai serban itu mendapat pahala? Untuk menjawab soalan ini, beliau memberikan jawapan seperti berikut;
“Telah sabit dalam hadis bahawa Nabi s.a.w. terkadang;
1. Memakai serban di atas kopiah dan inilah yang sering berlaku.
2. Memakai serban tanpa kopiah
3. Memakai kopiah tanpa serban.
Walau bagaimana pun tidak warid perintah yang kuat supaya memakai serban atas dasar sebagai salah satu hukum agama dan Syari’at. Maka sesiapa berserban berdasarkan niat menyerupai dalam hal berpakain Nabi s.a.w. kerana sebagai salah satu tanda cinta kasih kepada baginda, tentulah niat seperti ini mendapat ganjaran pahala. Begitulah juga halnya dengan perkara-perkara lain dalam mencontohi kebiasaan-kebiasaan baginda s.a.w..
Ulasan Syeikh ‘Ali Nasif dalam at-Tajul-Jami’
Syeikh ‘Ali Nasif dalam kitabnya “At-Tajul-Jami’ Lil-Usul Fi Ahadith ar-Rasul” di bawah tajuk al-‘Imamah (Serban) membuat ulasan; “Terdapat segolongan orang Islam meninggalkan serban dengan hujjah bahawa ia hanyalah adat atau kebiasaan sama seperti makan, minum dan sebagainya dan bukan dari agama. Selalunya yang mendorong mereka berpandangan demikian adalah sikap suka meniru bangsa lain. Walhal jika kita meletakkan berserban itu sebagai adat sekalipun, ia merupakan semulia-mulia adat kerana ia adalah adat Nabi s.a.w. di mana baginda adalah semulia-mulia makhluk pada pandangan sekelian kaum muslimin. Pepatah Arab ada menyebutkan; “Adat orang-orang besar adalah setinggi-tinggi adat”. Namun apa yang sebenarnya ialah; berserban adalah tergolong dalam agama melihat kepada nas-nas. Ia adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Memadai (untuk menunjukkan kemuliaannya kepada kita) dengan Malaikat Jibril sendiri berserban ketika turun berjumpa Nabi s.a.w.. Begitu juga, Nabi s.a.w. telah bersabda kepada Abdur-Rahman tatkala memakaikannya serban;
هكذا فاعتم فإنه أعرب وأحسن
“Beginilah memakai serban. Sesungguhnya ia lebih kemas dan lebih cantik”.
Hikmah serban ialah menjaga tubuh-badan di mana di negara panas ia memelihara dari sinaran matahari, adapun di negeri sejuk ia menjaga dari kesejukan…Selain itu, hikmah serban juga ialah untuk perhiasan dan keelokan (dalam berpakaian).
Pandangan dan sikap sahabat terhadap amalan kebiasaan Nabi s.a.w..
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan di dalam bukunya al-Madkhal li-Dirasati as-Sunnah an-Nabawiyyah; Di kalangan sahabat terdapat mereka yang mengikuti Nabi s.a.w. dalam segala perbuatannya sekalipun tidak nampak pada perbuatan tersebut bentuk qurbah (tujuan mendekatkan diri kepada Allah), semata-mata kerana sempurnanya kasih-sayang mereka kepada baginda dan keinginan yang bersangatan untuk mengikuti baginda dalam setiap urusan hidupnya. Di antara mereka ialah Ibnu Umar r.a..
Imam Mujahid menceritakan; “Kami mengikuti Ibnu ‘Umar r.a. dalam satu perjalanan. Lalu apabila ia sampai di satu tempat, ia melencung darinya (yakni mengambil jalan ke arah kanan atau ke kiri). Lalu kami bertanya kepadanya; “Kenapa kamu melakukan demikian?”. Ia menjawab; “Aku telah melihat Rasulullah melakukan sedemikian, maka aku pun turut melakukannya”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Bazzar dengan sanad yang baik).
Zaid bin Aslam menceritakan; Aku telah melihat Ibnu Umar r.a. menunaikan sembahyang dalam keadaan terbuka kancing-kancing bajunya. Lalu aku bertanya beliau tentang perbuatannya itu. Maka ia menjawab; “Aku telah melihat Rasulullah telah melakukannya”. (Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam Sohehnya dan Imam al-Baihaqi dalam Sunannya)
Dalam riwayat yang lain; Ibnu Umar r.a. apabila ia melintasi sebuah pokok antara Mekah dan Madinah, ia akan berhenti dan berehat di bawahnya. Apabila ditanya kenapa? Ia menjawab; “Kerana dia melihat Rasulullah telah melakukannya”. (Riwayat Imam Ibnu al-Bazzar dengan sanad yang dapat diterima)
Selain Ibnu Umar, seorang sahabat yang lain yang mengambil sikap serupa ialah Mu’awiyah bin Qurrah. ‘Urwah bin Abdillah bin Qusyair menceritakan dari Mu’awiyah yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Aku Ia telah datang kepada Nabi s.a.w. dalam satu rombongan, lalu aku bersama kumpulan itu berbai’ah dengan Nabi s.a.w.. Sesungguhnya butang-butang baju Nabi s.a.w. (ketika itu) dalam keadaan terbuka (yakni tidak dikancingkan oleh baginda)”. Urwah menceritakan; “Aku tidak pernah melihat Mu’awiyah dan begitu juga anaknya sama ada di musim sejuk atau musim panas melainkan kancing-kancing baju mereka dalam keadaan terbuka (kerana meniru Nabi s.a.w.). (Riwayat Imam Ibnu Majah)
Serban menjadi pakaian ulamak silam dan hari ini
Ahli Sejarah Islam terkenal iaitu Ibnu ‘Asakir (meninggal tahun 571 Hijrah) meriwayatkan Tarikhnya dari Imam Malik yang berkata;
لا ينبغي أن تترك العمائم ولقد اعتممت وما في وجهي شعرة
“Tidak sepatutnya ditinggalkan/diabaikan amalan memakai serban. Sesungguhnya saya memakai serban sejak belum tumbuh rambut di wajah saya (yakni belum bermisai dan berjanggut)”.
Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Manaqib asy-Syafi’ie menyebutkan antara lainnya; Rabi’ bin Sulaiman pernah ditanya orang tentang cara berpakaian dan jenis pakaian Imam Syafi’ie. Rabi’ menerangkan; “Pakaiannya adalah sederhana, tidak memakai jenis pakaian yang mahal, ia hanya memakai kain yang diperbuat dari kapas dan tenunan Baghdadi, terkadang ia memakai kopiah dan tidak berlebih-lebihan dan ia lebih sering memakai serban….”.
Dari keterangan Rabi’ yang dinaqalkan oleh Imam al-Baihaqi itu jelas membuktikan bahawa Imam as-Syafi’ie adalah salah seorang ulamak mujtahid yang memakai serban.
Pada zaman Khalifah Abi Ja’far al-Mansur (tahun 135-158H/752-774M) , apabila beliau mengasaskan Baitul-Hikmah yang kemudiannya berfungsi sebagai pusat buku-buku, penterjemahan dan institusi ilmu di kota Baghdad, serban telah dijadikan satu pakaian istimewa khasnya di kalangan para penuntutnya dan para ulamak. Serban berwarna hitam telah dijadikan sebagai satu pakain rasmi yang mesti dipakai oleh para guru, pelajar dan graduan Baitul-Hikmah dengan tujuan untuk membezakan antara golongan terpelajar dengan orang-orang lain. Dan cadangan pakaian serban hitam ini bagi penuntut dan graduan Baitul-Hikmah serta bagi ulamak-ulamaknya terbit dari cadangan Imam Abu Yusuf sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Khidir ‘Athaullah setelah membuat kajian tentangnya. Katanya; “Pada zaman itu para ulamak dan guru-guru mempunyai pakaian khas. Maka Abu Yusuf adalah orang yang mula-mula sekali membuat perubahan terhadap pakain para ulamak. Dan ia telah mencadangkan bagi penuntut-penuntut golongan Baitul-Hikmah supaya memakai serban hitam dan jubah….Dan semenjak zaman itu, jadilah serban hitam dan jubah ini pakain yang lazim dipakai para guru dan ulamak fikih”.
Kemudian dengan jatuhnya kota Baghdad pada tahun 656H/1258M ke tangan Mongol, pengamalan memakai serban ini mengalami perubahan. Akibat kejam dan bengisnya bangsa Mongol terhadap penyokong-penyokong Abbasiyah dan para ulamak pada ketika itu, maka ramailah yang mula melepaskan serban dari kepala kerana takut menjadi perhatian penguasa baru yang bukan lagi berbangsa Arab dan belum lagi memeluk Islam.
Ibnu Batutah (703-779H) yang membuat pengembaraan ke pelbagai pelusuk dunia di abad ke 7 Hijrah, ketika mencatatkan semula apa yang dilihat dan disaksikannya dalam pengembaraannya tentang tradisi penduduk kota suci Mekah, menerangkan bahawa khatib pada hari Jumaat di Masjid Mekah memakai serban hitam. Katanya; “Di antara tradisi penduduk kota suci Mekah pada hari jumaat ialah merapatkan mimbar berhampiran ke Kaabah al-Musyarrafah di antara rukun Hajarul Aswad dengan rukun Iraqi dan khatib akan mengadap ke arah maqam Ibrahim. Kemudian apabila khatib muncul, ia keluar dengan memakai pakaian serba hitam; serban hitam dan jubah hitam”.
Apa yang dicatatkan oleh Ibnu Batutah itu berdasarkan apa yang dilihatnya sendiri di kota suci Mekah memberi makna bahawa pakaian serban hitam merupakan pakaian rasmi khatib di Masjidil Haram pada abad yang ke-8 Hijrah.
Di Mesir, serban masih kekal hingga ke hari ini menjadi lambang para ulamak dan penuntut lepasan al-Azhar. Para ulamak al-Azhar majoritinya adalah berjubah dan berserban. Syeikhul al-Azhar dan juga Mufti Mesir hingga ke hari masih mengekalkan identiti berserban dan berjubah sebagai pakaian rasmi mereka. Begitu juga, khatib-khatib di serata Masjid di seluruh pelusuk Mesir, mereka berjubah dan berserban khususnya pada hari jumaat.
Al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali –salah seorang ulamak al-Azhar yang terkenal-, pernah suatu ketika beliau melawat ke satu negeri di Eropah. Semasa dalam keretapi, ada seorang menegur beliau; ‘Tidak bolehkah engkau menanggalkan serban dan jubah engkau dan engkau memakai kot … sepertimana orang di sini biasa memakainya”. Beliau menjawab; “Apa salahnya aku memakai pakaian yang biasa dipakai oleh ulama’-ulama’ al-Azhar. Jika seorang anggota tentera, anggota polis dan sebagainya berbangga dengan uniform tentera dan polisnya, maka aku juga berbangga dengan uniform al-Azharku (yakni berserban dan berjubah)”.
Kesimpulan akhir
1. Serban sekalipun merupakan pakaian tradisi orang Arab, namun kaitannya dengan peribadi Nabi s.a.w. meletakkannya sebagai pakaian yang mempunyai nilai dan kehormatan tersendiri di mata kaum muslimin termasuk para sahabat. Sekalipun kita berpegang bahawa pemakaian serban adalah harus, namun kedudukannya sebagai pakaian Nabi meletakkannya lebih baik dari topi, songkok hitam, dan sebagainya yang ditiru dari pakain orang Barat, dari India atau dari bangsa lainnya.
2. Di kalangan ulamak ada yang berpandangan secara jelas bahawa pemakaian serban adalah sunat. Antara mereka Imam as-Syaukani sebagaimana pandangan beliau dalam Nailul-Autar. Sekalipun majoriti ulamak berpandangan ianya harus sahaja, namun mereka menjelaskan bahawa sesiapa berserban dengan niat meniru Nabi s.a.w. dalam cara berpakain baginda atau untuk melahirkan tanda cinta kasih kepada baginda, maka ia akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.
3. Tidak ada pandangan dari ulamak bahawa orang yang memakai serban adalah haram dan berdosa. Oleh demikian, orang berserban –dari segi pandangan Syarak- berhak mempertahankan kebebasannya berserban kerana ia diharuskan oleh agama. Malah orang yang mengharamkan apa yang diharuskan Syarak tanpa ada suatu kemudaratan yang menimpa diri atau orang lain, maka ia terdedah dengan ancaman Allah;
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah Yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah Yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda Yang baik lagi halal dari rezeki Yang dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang Yang beriman (dan juga Yang tidak beriman) Dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang Yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang Yang (mahu) mengetahui”. (al-A’raf: 32)
Wallahu a’lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 8:03 PM
BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
Wednesday, July 30, 2008
Kerana kedua-duanya adalah sumber rujukan muktamad bagi umat Islam. Seorang muslim sebenar ialah yang berpegang-teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah dalam segenap aspek kehidupannya termasuk dalam aspek politik. Merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah adalah wajib. Allah berfirman;
”Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuknya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul jika kamu bena-benarr beriman kepada Allah dan hari akhirat. Tindakan demikian adalah paling baik (bagi kamu) dan paling elok akibatnya” (Surah an-Nisa’, ayat 59).
Kedua-dua al-Quran dan as-Sunnah adalah penyelamat kaum muslimin dari kesesatan. Rasulullah s.a.w. bersabda;
“Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu sekelian rujukan yang jika kamu perpegang-teguh dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”.(Hadis soheh, riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Lihat hadis ini dalam kitab “المنتقى من كتاب الترغيب و الترهيب”, Dr. Yusof Al-Qardhawi, m.s. 111.).
APAKAH ADA AJARAN POLITIK DI DALAM AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?
Ya. (Pertama) kerana kitab al-Quran adalah kitab yang syumul. Firman Allah; ”Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran sebagai penjelasan bagi segala perkara”. (Surah an-Nahl, ayat 89). Maksud syumul ialah lengkap, menyeluruh dan sempurna. Jika kita beriktiqad bahawa tidak ada politik di dalam al-Quran, maka kita telah menafikan kesyumulan al-Quran dan iktiqad ini bertentangan dengan ayat tersebut. (Kedua) Jika kita membuka al-Quran, kita akan berjumpa dengan ayat-ayat Allah yang mewajibkan kita melaksanakan Syari’at Allah sepenuhnya, menjauhi kezaliman, menegakkan keadilan, melaksanakan hukum-hukum Jenayah Islam (hudud), membenteras riba, judi, arak dan maksiat, mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran di mana semua tuntutan ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik atau pemerintahan. (Ketiga) Berpolitik adalah sunnah Nabi s.a.w.. Nabi Muhammad s.a.w. telah menjadi Ketua Negara selama 11 tahun di Madinah. Sepanjang 11 tahun tersebut, baginda tidak memerintah rakyatnya melainkan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas kewafatannya, kepimpinan baginda diganti pula oleh Khulafak Rasyidin. Mereka mengganti baginda sebagai Ketua Negara, bukan sebagai Ketua Agama. Jika politik bukan dari agama, sudah tentu Nabi Muhammad s.a.w. dan Khulafak Rasyidin tidak akan melibatkan diri dengan politik, sebaliknya menumpukan hal-hal agama dan kerohanian sahaja.
APA HUKUM ORANG YANG BERKATA; ”POLITIK SUKU, AGAMA SUKU”?
Ucapan tersebut bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Ucapan itu cuba menafikan kesyumulan ajaran Islam yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah aspek politik. Ia juga bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w. yang berpolitik semasa hayatnya. Orang yang mengeluarkan ucapan tersebut adalah jelas berfahaman Sekular. Jika ia seorang pemimpin, wajib umat Islam menolak pemimpin sepertinya. Dalam pengundian, haram ke atas umat Islam mengundinya. Jika ucapan tersebut menjadi pegangan sebuah Parti Politik, haram umat Islam menyertai Parti tersebut dan menyokongnya. Fahaman Sekular (termasuklah dalam aspek politik) telah disepakati oleh sekelian ulamak Islam hari ini sebagai haram, sesat bertentangan dengan Aqidah Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.
ADAKAH POLITIK SATU IBADAH?
Ya, politik akan menjadi sebahagian dari ibadah jika cara jika cara kita berpolitik adalah mengikut manhaj al-Quran dan as-Sunnah. Jika tidak mengikut al-Quran dan as-Sunnah, maka politik kita tidak akan menjadi ibadah, malah berdosa kerana kita mengenepikan Syariat Allah. Menurut sekelian ulamak; setiap perbuatan kita akan menjadi ibadah jika memenuhi dua syarat; (pertama) dilakukan kerana Allah, (kedua) mengikut Syari’at Allah (yakni al-Quran dan as-Sunnah). Jika kita berpolitik kerana Allah dan semasa berpolitik kita mematuhi Syariat Allah (antaranya tidak memberi dan menerima rasuah politik yang berleluasa hari ini), maka politik kita adalah ibadah dan mendapat pahala.
BAGAIMANA YANG DIKATAKAN BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AS-SUNNAH?
Iaitu dengan kita menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kita dalam berpolitik. (Pertama) Dari sudut tujuan dan matlamat kita berpolitik, hendaklah selari dengan matlamat politik al-Quran dan as-Sunnah. (Kedua) Dalam melantik pemimpin, hendaklah kita melantik pemimpin yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. (Ketiga) Seorang pemimpin apabila telah dilantik, wajiblah ia memimpin rakyatnya berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. (Keempat) Rakyat hendaklah sentiasa memuhasabah pemimpinnya dengan menilainya berpandukan kehendak al-Quran dan as-Sunnah. (Kelima) Kedua-dua pemimpin dan rakyat hendaklah menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan.
APAKAH MATLAMAT BERPOLITIK MENGIKUT MANHAJ AL-QURAN DAN AS-SUNNAH?
Iaitu untuk menegakkan Syari’at Allah (yakni peraturan dan hukum-hakam Allah) di dalam negara dan memimpin rakyat berdasarkan Syari’at tersebut. Dalam pengertian yang lain, untuk menegakkan sebuah kerajaan yang melaksanakan Syari’at Islam. Matlamat ini menepati tugas Khalifah (penguasa) yang ditegaskan Allah kepada Nabi Daud di dalam al-Quran;
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah (penguasa) di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum Syari’at) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah kamu menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah”. (Shad; 26)
KENAPAKAH MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH AMAT PENTING DI DALAM NEGARA?
Agar negara kita sentiasa dijaga oleh dilimpahi barakah oleh Allah. Negara yang diberkati Allah ialah negara yang penduduknya bertakwa dan makna takwa ialah mematuhi perintah Allah (yakni Syari’atNya) dan menjauhi maksiat serta munkar. Firman Allah;
”Sekiranya penduduk suatu negeri atau negara itu, mereka beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu kurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi, akan tetapi mereka mendustakan (ajaran Rasul kami), maka Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (al-A’raf; 96)
APA AKIBAT PENGABAIAN HUKUM SYARIAT DI DALAM NEGARA?
Pengabaian Syari’at Allah yang berterusan menyebabkan kita berdosa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah telah memperingatkan kita bahawa kehancuran umat-umat terdahulu adalah kerana dosa-dosa yang mereka lakukan walaupun negara mereka makmur dan mewah. Firman Allah;
“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi-generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka karena dosa mereka sendiri, dan kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain”. (al-An’am; 6)
Kebinasan dari Allah tidak semestinya dalam bentuk gempa bumi, ribut taufan, penyakit dan sebagainya. Ia boleh berlaku dalam bentuk keruntuhan akhlak, peningkatan jenayah, tekanan hidup yang melampau, porak-perandanya institusi keluarga dan pelbagai lagi musibah maknawi yang merosakkan ketenteraman hidup walaupun kita selesa dan mewah dari sudut kebendaan. Hari ini kita sedang berhadapan dengan bibit-bibit kebinasaan dalam bentuk yang kedua tersebut. Jika kita lambat menyedari kesilapan kita dan lambat kembali kepada Allah, tidak mustahil kita akan melihat kebinasaan yang lebih teruk dalam masyarakat kita.
KENAPAKAH PERLU KUASA POLITIK UNTUK MELAKSANAKAN SYARIAT ALLAH?
Kerana Syari’at Islam bukan sahaja menyentuh hal-ehwal peribadi dan rohani (seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya), tetapi juga menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara seperti membenteras kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, pengharaman riba, arak, judi, penzinaan, perlaksanaan hudud (hukuman bagi pencuri, penzina, perompak yang disebut di dalam al-Quran dan sebagainya) dan mencegah maksiat dan kemungkaran yang amat dititik-beratkan oleh al-Quran dan as-Sunnah.
Hukum-hakam yang menyentuh hal-ehwal masyarakat, kerajaan dan negara di atas mustahil dapat dilaksanakan tanpa kuasa politik. Hari ini kita melihat dalam negara kita maksiat dan munkar berleluasa (ada di antaranya diluluskan oleh undang-undang), tv dan media masa tidak terkawal mengikut Syariat Islam, perlembagaan negara tidak mengikut prinsip al-Quran, undang-undang negara juga tidak berdasarkan Syari’at Islam (termasuk dalam hal jenayah) dan pemimpin-pemimpin juga tidak mengikut akhlak Islam (rasuah, pecah amanah, hidup bermewah-mewah, membazir). Kenapa hal ini berlaku? Jawapannya kerana pemerintahan negara kita hari ini tidak tertegak atas dasar politik Islam, iaitu politik yang bermatlamatkan untuk menegakkan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam.
BENARKAH ALLAH MEMERINTAHKAN NABI MUHAMMAD S..A.W. SUPAYA BERDOA MEMOHON KUASA POLITIK?
Ya. Kerana pentingnya kuasa politik untuk melaksanakan Syari’at Allah dan tuntutan agama Islam, maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar berdoa memohon diberikan kuasa. Allah berfirman;
“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad dengan berdoa): wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke tempat masuk yang benar dan keluarkan (pula) aku ke tempat keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang dapat menolongku”. (al-Isra’; 80)
Menurut ulamak-ulamak Tafsir (antaranya Imam Qatadah, Ibnu Jarir dan Ibnu Katsir), Allah menyuruh Nabi Muhammad memohon kekuasaan kerana hanya dengan kekuasaan baginda akan dapat melaksanakan Kitab Allah, hudud-hududNya, perkara-perkara yang difardhukanNya dan membantu menegakkan agama Allah. (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Isra’, ayat 80)
***والله أعلم بالصواب***
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL at 10:37 AM
Langgan:
Catatan (Atom)